Wednesday, December 28, 2011

"AKU SENTIASA MENGAJAR...

Suatu hari seorang Guru bertemu sahabatnya sekolah dahulu bertemu disebuah Hotel yang mengacasahabat sebuah seminar. Sahabatnya itu seorang ahli Falsafah yang terkenal akan kebijaksanaannya. Setelah tamat seminar itu si ahli Falsafah pun memberi cadangan supaya mereka makan di salah sebuah restoran yang terkenal di Bandar tersebut.

“Apa hidangan istimewa hari ini? Tanya Guru itu kepada pelayan restoran sebaik sahaja dia tiba bersama sahabatnya ahli Falsafah mengambil tempat di dalam restoran tersebut.

“Ikan..tuan..dan ianya amat segar kerana ia baru sahaja tiba” balas pembantu retoran tersebut.

“Oh kalau begitu, bawakan kami dua ekor ikan dengan resipi masakan yang terbaik. Sudah tentu ianya lebih istimewa. Aku tidak sempat makan apa pun hari ini kerana aku ingin cukup bersedia menjadi ahli panel tadi” ahli Falsafah itu meminta.

“Baik tuan. Hidangan akan dihidangkan seperti yang diminta” jawab pelayan restoran itu.

“Wahai sahabatku, kenapakah kau memilih tawaran kerja Guru sebagai pekerjaanmu padahal kau sudah mendapat tawaran jauh lebih baik daripada ini” Tanya si ahli Falsafah sambil memperlekehkan kerjaya si Guru.

“Mungkin kerana hobiku suka bercerita, jadi bolehlah aku bercerita nilai-nilai moral kepada anak-anak muridku. Dengan itu AKU SENTIASA MENGAJAR diriku sendiri dan orang lain” jawab si Guru sambil ketawa.

Kemudian semakin rancak perbualan mereka,dan si ahli Falsafah sering memperlekehkan kerjaya temannya itu dengan penuh falsafahnya. Tidak lama kemudian pelayan restoran pun datang bersama hidangan dua ekor ikan dengan masakan resipi teristimewa. Satu agak kecil dan satu lagi agak besar yang tidak jauh beza saiznya. Si Guru kemudian mengambil ikan yang besar dan memasukkannya kedalam pinggannya.

Melihat kelakuan si Guru itu, ahli Falsafah tersebut agak terperanjat. Apa tidaknya,seorang lelaki yang dianggap menjadi contoh kepada anak-anak muridnya, sering mengajar nilai-nilai moral kepada anak-anak muridnya boleh melakukan perkara yang sebegitu.

“Oh Guru, apa yang telah kau lakukan? ” Penuh diplomasi ahli Falsafah tersebut cuba menyampaikan apa yang tersirat di hatinya.

“Kenapa sahabatku, kau bercakap penuh dengan sesuatu yang sukar difahamkan? ” Tanya si Guru dengan tenang yang masih belum menyentuh ikan yang masih berada dipinggannya.

“Sebagai seorang yang tahu moral dan budi pekerti,aku akan mengambil ikan yang kecil terlebih dahulu daripada yang besar. Tambahan aku ahli falsafah sudah tentu aku akan berfalsafah.” balas ahli Falsafah tersebut.

“Oh.. kalau begitu, memang patut pun. Nah, ambil ikan yang kecil ini untuk kamu. Sememangnya sahaja bagi orang yang tahu moral” Kata Guru tersebut sambil senyum.

Muka si ahli Falsafah itu muram dan bertambah masam.

“Sayangnya aku sebenarnya tidak berminat akan ikan yang besar” sambung Guru itu sambil menukar ikan yang besar kepada yang kecil dengan sahabatnya itu.

Lalu gembiralah si ahli Falsafah itu dan makan dengan penuh selera. Selesai sahaja makan, bertanyalah si ahli Falsafah kepada si Guru.

“Sahabatku mengapa kau menukar ikan kita tadi, kau memberikan ku ikan yang besar sayangnya resipi masakan ikan tersebut bukanlah resipi masakan yang teristimewa”

“Aku takut membazir jika tidak dapat menghabiskan ikan itu” jawab si Guru selamba.

“Sebenarnya aku sudah mengingatimu ketika aku berkata sebagai orang yang bermoral dan beretika tetapi aku mengingatimu dengan cara aku berfalsafah” dengan angkuh si ahli Falsafah

“Seandainya aku mengambil ikan yang besar. Aku akan kelihatan seorang yang tamak dan kufur nikmat rezeki yang diberikan jika dengan mengatakan bahawa resipi tersebut adalah tidaklah istimewa sangat. Sungguhpun selera makanan setiap orang itu berbeza”jawab si Guru dengan tenangnya.

“Kau mengenakan aku ya!” geram si ahli falsafah yang terasa akan kata-kata sahabatnya itu

“Tidak, aku ini seorang Guru dan aku sedang mengajar kau sahabatku seperti kau juga yang sentiasa berfalsafah. Kau boleh bercakap dengan bahasa yang mudah dengan meminta ikan yang besar” jawab si Guru dengan serius.

“Apa yang dikau mengajarku?” si ahli Falsafah bertanya dengan bertambah kegeramannya.

“Aku sedang mengajar kau agar beramal dengan Ilmu yang kau ada. dan bercakaplah sesuai dengan masa dan tempat serta orang yang kau damping. Jika tidak mereka akan bercakap dalam bahasa mereka yang kau sendiri tidak memahami akan maksudnya seperti cara ‘aku mengajarmu ini’ ”. jawab si Guru

“Aku faham maksudmu itu wahai Guru” si ahli Falsafah berkata sambil senyum dan mengiyakan kata sahabatnya.

“Alhamdulillah,. Jangan lupa bersyukur apabila menikmati rezeki. Teori tidak akan bernilai jika kau tidak beramal dengannya” sambung si Guru..

P/S cerita ini tidak berkaitan antara dua pekerjaan antara Guru mahupun Ahli Falsafah apa kerjaya pun sama. Perbuatan kita hendaklah sesuai dengan Ilmu yang kita ada. Pengajaran harus diambil bersama..

No comments:

Post a Comment