Friday, February 24, 2012

Berilmu Sebelum Berkata dan Beramal

Imam al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat bab dalam kitab Shahihnya, “Bab al-‘Ilmu Qablal Qaul wal ‘Amal.” Iaitu bab: berilmu sebelum berkata dan beramal.

Maksudnya, “Ilmu adalah syarat sahnya suatu ucapan dan perbuatan. Ucapan dan perbuatan tidak akan bermakna melainkan dengan ilmu. Ilmu lebih didahulukan dari keduanya (ucapan dan amal). Kerana ilmu akan meluruskan niat dan membenarkan amal.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 1/160)

Untuk melakukan sesuatu kebaikan, kita perlukan ilmu. Untuk mendapat dunia, kita perlukan ilmu. Untuk mendapatkan akhirat, tidak dapat tidak mestilah dengan ilmu.

Ilmu yang wajib dan fardhu bagi kita semua adalah ilmu tentang agama ini. Iaitu ilmu tentang iman kita, tentang tauhid, dan yang dapat membuahkan jalan petunjuk kehidupan dunia dan akhirat. Dengan ilmu jugalah kita dapat mengenali Rabb kita.

Kata Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H), “Ilmu itu bukanlah dengan banyaknya riwayat, tetapi ia adalah cahaya yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati, dan syaratnya adalah al-ittiba’ (mengikuti sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), dan melarikan diri dari hawa nafsu serta menjauhi al-ibtida’ (bid’ah).” (Siyar A’lam an-Nubala’, 13/323)

Ilmu tentang agama, tidak dapat tidak mesti diambil dari sumber yang benar. Diambil dan ditela‘ah dari kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab hadis. Iaitu kitab-kitab yang memuatkan penjelasan tentang wahyu Allah berupa tafsir-tafsir al-Qur’an dan syarah hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di antara kitab tafsir terbaik adalah seperti Tafsir Ibnu Katsir manakala rangkaian kitab-kitab hadis menurut keutamaan adalah seperti Shahih al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan seterusnya berserta syarah dan penjelasannya.

Dari kitab-kitab ini kita dapat mendulang mutiara petunjuk yang tidak ternilai harganya. Di sinilah letak perkhabaran penting. Iaitu khabar wahyu tentang apa yang telah berlaku, yang sedang terjadi, dan apa yang bakal datang di masa hadapan. Kandungannya bukan jenaka, bukan khayalan. Bukan untuk satu atau dua hari seperti kisah surat khabar. Tetapi merupakan khabar kebahagiaan dan bekal selamanya.

Di dalamnya adalah khabar ilmu bermanfaat. Sebagaimana kata adz-Dzahabi rahimahullah, “Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama al-Qur’an dan ditafsirkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan darinya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 19/339-340)

Ilmu Sebelum Beramal

Aqidah dan tauhid yang benar akan menyelamatkan kita dari syirik. Untuk membezakan di antara tauhid dan syirik, tidak dapat tidak, mestilah dengan ilmu. Apabila ilmu yang benar dikuasai, tauhid yang murni pun diimani. Apabila tauhid telah murni, maka amal-amal soleh tidak akan disia-siakan. Kerana di antara syarat diterimanya amal adalah dengan murninya aqidah.

Keutamaan Orang Berilmu

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Surah az-Zumar, 39: 9)

Dari ayat ini, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma menyatakan:

“Syarat bagi seseorang untuk dikatakan sebagai ‘aalim tentang Allah yang Maha Pengasih di antara hamba-hamba-Nya adalah tidak mensyirikkan Allah, menghalalkan dan mengharamkan sebagaimana yang ditetapkan Allah, menjaga dan memelihara tuntutan dan kehendak Allah, meyakini bahawa Allah akan menemuinya dan menghisap amal perbuatannya.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/544)

Maka dari mana lagi untuk kita meraih ilmu-ilmu pengetahuan tentang agama ini melainkan dari kitab Allah (al-Qur’an) dan hadis-hadis Rasul-Nya. Inilah apa yang telah dihadam dan difahami oleh generasi terbaik dari umat manusia setelah para Nabi dan Rasul. Generasi manusia pilihan yang telah dijanjikan Syurga oleh Allah Ta’ala kerana menerima dan beriman dengan apa yang datang dari Allah dan Rasul-Nya.

Allah Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu.” Maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadilah, 58: 11)

Kata Imam Qotadah, “Apabila kamu diajak kepada kebaikan (ilmu), maka ikutlah.” Kerana dengan mengikuti ilmu, darjat seseorang akan diangkat di sisi Allah.

Tidak Berkata Tanpa Ilmu

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah al-Isra’, 17: 36)

Tetapi kita berasa kecewa pada hari ini apabila mendengar banyaknya orang-orang yang bercakap dan mengambil agama tanpa membawakan dalil dari al-Qur’an mahupun as-Sunnah. Sedangkan agama Islam ini bukan agama yang diolah dengan hawa nafsu dan perasaan. Tidak juga boleh digoreng sesuka hati. Tapi sayangnya, ramai orang hari ini perkataan dan perbuataannya mendahului ilmu di dalam dadanya.

Lebih-lebih lagi dengan kepesatan teknologi internet seperti youtube, blog, dan media sosial hari ini. Orang jahil berlumba-lumba mahu berbicara dan menonjolkan diri. Pantang ditanya, pasti menjawab. Jarang sekali hari ini kita menemui orang-orang agama yang sanggup mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya. Sedangkan jawaban “Allahu A’lam” tersebut termasuk sebahagian dari tanda dalamnya ilmu seseorang.

Ini sebagaimana kata sahabat nabi, ‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, “Wahai manusia, sesiapa yang mengetahui sesuatu hendaklah dia mengatakannya, dan sesiapa yang tidak mengetahui hendaklah dia mengatakan, “Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui).”

Kerana termasuk sebahagian dari ilmu adalah mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya.” Kemudian beliau menyebutkan firman Allah Surah Shaad, 38: 86: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikitpun padamu atas dakwahku dan bukanlah aku dari kalangan orang yang mengada-adakan (dari apa yang tidak diketahui).”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4435)

Jangan Berdusta

Apa jua ilmu mestilah dipastikan kesahihannya dan tidak diambil dari yang bukan sumbernya. Kerana setiap ilmu (atau maklumat) yang diambil tanpa dapat dipastikan sumber dan kesahihannya, hakikatnya ia bukanlah ilmu. Malah Banyak dalil-dalil yang mengancam dari menyebarkan sesuatu tentang agama yang tidak dapat ditentukan benar atau tidaknya.

Bercakap agama tanpa dalil yang benar, ia akan menjerumuskan pelaku ke dalam perbuatan mendakwa-dakwi tentang Allah dan agama ini dengan sesuatu yang tidak pasti. Perbuatan seperti ini termasuk kedustaan dan kezaliman. Malah termasuk ajaran syaitan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah al-An’am, 6 : 144)

Dalam ayat yang lain, “Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, 2: 169)

Dan orang-orang yang bercakap agama tanpa bukti dalil yang benar serta tergesa-gesa dalam menyebarkannya, ia dianggap pendusta. Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Cukuplah seseorang dianggap pendusta ketika dia menceritakan setiap apa yang dia dengar.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 6)

Oleh itu, berilmulah sebelum berkata dan beramal!

SUMBER: http://an-nawawi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment